KADAR MINIMA PENGGAJIAN, ADA APA SELEPAS 2 TAHUN PKP RAYA DIKECUALIKAN?

by Meor Muhammad Azim

Taqabbalallahu minna waminkum (Semoga Allah menerima amalku & amal kalian). Ini antara ucapan doa yang disebut ketika Syawal tiba. Tanda kesungguhan Umat Islam memerangi nafsu dalam kehidupan duniawi. Jika tahun lepas raya tak jadi, raya tahun ni jadi tak ready dek pengumuman
mengejut. Jika tahun lepas raya dalam pandemic, tahun ni rakyat Malaysia beraya dalam keadaan panic. Begitulah antara masam manis apa yang berlaku di negara kita.

Sebut tentang amal, nafsu, dan duniawi, baru ini kerajaan telah mengumumkan penetapan gaji minima pekerja sebanyak RM1, 500 sebulan kepada semua rakyat Malaysia yang berkerja di sector swasta.Tetapan gaji ini akan bermula tidak lama lagi bagi majikan yang mempunyai 5 orang pekerja ke atas,
dan tahun 2023 bagi pekerja yang kurang 5 orang pekerja.Pelbagai reaksi yang muncul samada di kalangan para usahawan, pengkaji politik, dan para akademi
mengenai isu ini. Ada yang setuju, begitu juga sebaliknya. Perasaan seronok rakyat Malaysia mengenai perkara ini, sudah semestinya tidak seronok bagi para majikan. Apatah lagi di kalangan para pemula bisnes yang masih baru dalam industri. Cuba bayangkan, menggajikan 4 orang pekerja dengan kadar gaji minima sudah mencecah RM6, 000. Sekiranya pendapatan kasar syarikat baru mencecah RM15, 000 sebulan, bermaksud syarikat telah peruntukkan lebih dari 45% pengeluaran kos hanya untuk penggajian pekerja sahaja. Ini belum termasuk kos perbelanjaan syarikat yang lain lagi. Ini antara apa yang dilemma para peniaga baru.

Para analisis politik mengandaikan ini petanda PRU semakin hampir & para penganalisa ekonomi pula membuat pembacaan bahawa penguncupan ekonomi negara akan kembali pulih dengan apa yang berlaku di Malaysia seperti kenaikan harga barang, dan kenaikan penggajian ini. Bila difikirkan, ada logiknya. Bila harga barang naik, gaji pun perlu turut naik. Barulah aktiviti ‘supply & demand’ boleh berlaku seperti biasa. Bahkah sebenarnya ada penganalisa yang berkongsi bahawa apa yang berlaku inilah yang dinamakan sebagai Inflasi. Pokoknya di sini, berkenaan dengan semua yang berlaku disekeliling kita ini, tentang inflasi, ‘supply & demand; selagi mana kita menggunakan wang kertas atau disebutkan juga sebagai fiat money, di mana semua sandarannya pada nilai mata wang USD (yang juga wang kertas), maka selagi itulah kadar inflasi kekal berlaku sampai bila-bila.

Apa pun ulasan dan pandangan yang diberikan, percayalah itu semua di luar kawalan dan kuasa kita. Samada suka atau tidak dengan apa yang berlaku, hakikatnya kita tidak mampu menukar kuasa dan perintah yang telah dicaturkan pihak penguasa. Kerana itu semua di luar kawalan kita.Walaubagaimana pun, cuba kita perhatikan kembali bagaimana nenek moyang kita meneruskan hidup. Mereka tidak punya wang kertas (cash money) yang banyak. Apa yang mereka ada adalah tanah, penternakan, penanaman, dan penggalian. In yang mereka punya banyak sekali, dan inilah asset sebenar (real asset) turun temurun mereka. Sebab itu mereka tak risau punya anak ramai, sebab jika mereka perlukan makanan rugi, mereka hanya perlu melakukan Sistem Barter (penukaran barangan
suka sama suka) sesama mereka. Sama sekali mereka jarang mengharapkan kerajaan walau anak mereka lebih dari tujuh orang. Mereka tetap bahagia cara mereka tanpa pernah mengemis, betulkan?

Maka, di kesempatan ringkas Raya ini, selain kita saling bermaafan, ziarah menziarahi bersama rakan taulan, sanak saudara, dan keluarga tercinta, saya menyeru kita semua supaya marilah kembali usahakan asset sebenar peninggalan nenek moyang kita dahulu. Saya yakin kebanyakan kita ada asset sebenar tersebut. Hanya tinggal kita lakukan sedikit pembelajaran, pengorbanan, dan usaha untuk cambahkan kembali hingga mendatangkan hasil. Kerana dengan itu sajalah kita mampu untuk beat the inflation yang kekal berlaku saban tahun di seluruh negara dunia ini. Kepada mereka yang pernah ada tanah, kemudian telah menjualnya, kalian masih belum terlambat untuk menjaga pengurusan kewangan kalian agar dapat membeli semula tanah yang hakikatnya milik Tuhan untuk kalian manfaatkan. Sekian.

Share