Kredit gambar: infoupu.com
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/Unik ID kepada pemohon kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi sesi akademik 2022/2023.
Dua minggu lalu, menteri KPT, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad telah mengumumkan inisiatif itu dalam satu kenyataan yang melibatkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia, asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia, lepasan matrikulasi serta diploma atau setaraf.
Noraini berkata, permohonan kemasukan dalam talian itu dibuka 4 Februari sehingga 31 Mac ini.
Kredit gambar: malaysiakini.com
“Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan serta kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin unik ID di Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk membuat permohonan UPUOnline.
“Ia diharap dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah,” tambahnya.
Tak perlu ke bandar, UPUOnline mudahkan urusan permohonan
Berikutan pengumuman inisiatif itu, beberapa pelajar yang layak memohon telah ditemu bual bagi mendapatkan respon mereka.
Syahmina Sabri, 18 berkongsi bahawa dia telahpun membuat permohonan ke universiti pilihannya menerusi UPUOnline minggu lalu.
Kredit gambar: negeripahang.com
“Saya bukanlah orang senang dan rumah saya mengambil masa 30 ke 40 minit untuk ke bandar untuk membeli pin nombor di Bank Simpanan Nasional (BSN),” kata Syahmina yang tinggal di sebuah kampung di pedalaman Pahang.
Syahmina yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Mac ini berkata, dahulu abang kakaknya perlu membeli pin nombor untuk mohon universiti yang berharga RM 15 setiap satu di BSN.
“Perlu masa, tenaga dan wang yang banyak sekiranya adik-beradik ramai,” tambahnya.
Kredit gambar: Natang Ngoh
“Sekiranya, tak berjaya mereka perlu membeli pin baharu.
“Namun, apabila inisiatif ini diumumkan, saya cukup gembira dan berkongsi berita ini dengan ibu ayah saya.
Bapa Syahmina amat bersyukur dengan inisiatif KPT itu dan menggalakkannya memohon UPU serta membuat keputusan yang baik dalam pemilihan kursus dan univerisiti.
“Saya telah membuat permohonan dalam pengkhsususan veterina dan haiwan di beberapa buah universiti seperti Universiti Teknologi MARA, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Tiada alasan untuk tidak memohon UPU
Dalam temu bual bersama pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Mohamad Ilham Rahman, 19, dia berkata semua pelajar yang layak memohon perlu mengambil peluang keemasan ini untuk melanjutkan pelajaran mereka.
“Pelajar tidak boleh beri alasan lagi untuk tidak memohon, dapat tak dapat belakang kira, kita usaha sehabis mungkin,” kata wakil pelajar tingkatan 6 itu.
Kredit gambar: MalaysiaGazette
“KPT sudah buka jalan dan mengambil kira kesusahan serta kebimbangan pelajar, ini menunjukkan KPT cakna tentang isu pelajar IPT,” tambahnya.
Ilham berkata, sejurus pengumuman itu, dia telah bersedia dengan segala dokumen untuk mengisi borang UPU dalam talian mengikut kursus dan universiti pilihannya.
Tambah lagi, Ilham juga turut berbincang dengan guru pembimbing kerjaya dan ibu bapanya tentang pemilihan kursus dan universiti.
“Dari segi teknikal seperti proses membeli pin nombor dan mengetahui cara penggunaan pin nombor, pelajar tak perlu serabut nak memikirkannya, kini eplajar hanya perlu fokus dengan pemilihan kursus sahaja.
“Inisiatif itu, sudah memudahkan pelajar membuat keputusan dan memohon universiti,” ulas Ilham.
Kredit gambar: freemalaysiatoday.com
“Sekali lagi, saya menyeru semua pelajar yang layak memohon UPU ambil peluang ini supaya kalian boleh terokai dunia baharu, ilmu baharu dan lebarkan sayap kalian dalam bidang yang kalian minati,” kongsi Ilham yang memilih Universiti Malaya sebagai pilihan pertamanya dalam kursus perakaunan.
Kandungan MOJO ini dihasilkan dengan sokongan kewangan European Union. Kandungannya adalah tanggungjawab penulis sepenuhnya, dan tidak semestinya menggambarkan pandangan European Union, Internews, atau SOLS 247 atau NGOhub.