Kredit Gambar: The Star
Teliti semula silibus dan subjek wajib di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerana ia mengakibatkan pelajar mengambil masa yang lama kira-kira 6-7 tahun untuk mendapatkan lulusan ijazah sarjana muda.
Itu saranan Presiden ‘Malaysian United Democratic Alliance’ (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Oktober lalu ketika mengusulkan perkara itu dalam persidangan Parlimen.
Berdasarkan video di akaun Twitternya, beliau menyatakan terdapat beberapa subjek mandatori seperti Hubungan Etnik, Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS), Falsafah, Etika dan Perpaduan yang mempunyai beberapa tahap menjadi beban kepada pelajar IPT.
Tambah Ahli Parlimen Muar itu, cadangan memendekkan tempoh pengajian dengan mengurangkan subjek wajib bertujuan membolehkan graduan IPT di Malaysia tidak ketinggalan dan dapat bersaing dengan graduan luar negara.
"Kita akan bertanding dengan graduan luar negara.
"Mereka sudah jauh 2 tahun ke hadapan memasuki pasaran kerja," katanya.
Bukan itu sahaja, malah menurut beliau penambahan subjek-subjek ini juga mengakibatkan kos pengajian pelajar menjadi semakin mahal.
“Bukan sahaja kos itu tinggi, tetapi kita juga hilang nilai daya saing pelajar IPT kita. Ini adalah perkara yang kerajaan harus pertimbangkan untuk tukar.”
Tambahnya, perubahan ini akan memastikan anak muda dan graduan tamat pengajian pada usia yang lebih muda malah mereka juga berpeluang menceburi bidang yang diminati, selain dapat bersaing dengan lebih hebat dengan graduan luar negara.
Kredit Gambar: Twitter Syed Saddiq
Saranan Syed Saddiq itu ternyata mendapat respon positif daripada pengguna Twitter, yang mana ada dalam kalangan mereka berkongsi sendiri pengalaman sebagai pelajar IPT.
"Gugurkan subjek-subjek yang tak perlu atau tak berkaitan dengan bidang yang dipelajari.
"Semua universiti perlu bagi pelajar diploma pindah jam kredit jika dalam bidang yang sama.
"Kokurikulum perlu dibubarkan di peringkat IPT. Cukup hanya di bangku sekolah," kata pengguna @Ak_Fiq.
Selain itu, pengguna Twitter bernama @Aishghost_ berkata, beliau menyarankan subjek wajib tidak perlu dimansuhkan, hanya sekadar dijadikan sebagai pilihan buat pelajar kerana setiap pelajar mempunyai minat yang berbeza-beza.
Kredit Gambar: Facebook Gossip Universiti Awam
Namun, ada juga pelajar IPT yang menyokong subjek wajib ini dikekalkan kerana ia sebagai inisiatif untuk mengeratkan perpaduan dan membuka minda pelajar.
"Hubungan Etnik dengan Titas ni penting untuk hubungan kita sesama masyarakat dan membentuk identiti negara," kata pengguna @taqiuddin_omar.
Sementara itu, Pensyarah di Universiti Nottingham Malaysia, Prof. Zaharom Nain dalam temu bualnya bersama Free Malaysia Today turut menegaskan bahawa subjek-subjek wajib universiti bertujuan meluaskan minda pelajar.
Contohnya seperti membantu mereka menghargai impak apa yang mereka pelajari dalam bidang kejuruteraan atau sains ke atas masyarakat, manusia dan alam sekitar, tentu saja perlu diajar.
Kredit Gambar: Berita Harian
Walau bagaimanapun, sekiranya subjek wajib ini diteruskan ia seharusnya tidak berlandaskan peperiksaan sahaja dengan pelajar menghafal jawapan buku atau nota -- yang mana konsep pengajaran dan pembelajaran inilah merupakan hakikat sebenar sistem pendidikan di Malaysia pada masa kini.
"Banyak sangat 'rote learning' - teknik menghafal, mengulang fakta. Asyik hafal. Lepas peperiksaan habis semua tak ingat.
"Dulu subjek 'Critical Thinking' pun tak ketengahkan kemahiran berfikir secara kritis - susah dapat markah sebab perlu jawab ikut buku teks verbatim," tambah pengguna @amarfrd.
Dengan kata lain, pensyarah yang mengajar perlu membantu pelajar mendalami subjek ini dengan menberikan contoh realiti sebenar atau membuat sesi perbincangan tentang isu-isu yang terdapat dalam subjek tersebut.
Kredit Gambar: Nesabamedia
Respon lain daripada pelajar IPT juga mencadangkan agar subjek-subjek wajib ini digantikan dengan subjek yang berkaitan dengan realiti industri sebenar seperti subjek penggunaan perisian asas komputer seperti Google, Microsoft dan lain-lain.
"Minta masukkan subjek yang lebih menekankan praktikal, berkaitan dengan dunia kerjaya dan perkongsian yang boleh dipraktikkan semasa kerja," ciap pengguna @nunnajmin.
Tambahnya, subjek seperti pengurusan wang dan hal-hal berkaitan akta serta hak-hak pekerja juga perlu diketengahkan supaya graduan dapat bersedia menghadapi alam pekerjaan.
Kredit Gambar: Sehatq
Selain itu, seorang pengguna @Aliff_yaseer berkata, subjek tidak relevan juga perlu digugurkan dan digantikan dengan latihan kemahiran insaniah ‘softskills’ yang bertepatan dengan pasaran serta industri bidang masing-masing.
#MOJOKitabySM #SuaraMasyarakat #CommunityVoices
Kandungan MOJO ini dihasilkan dengan sokongan kewangan European Union. Kandungannya adalah tanggungjawab penulis sepenuhnya, dan tidak semestinya menggambarkan pandangan European Union, Internews, atau SOLS 247 atau NGOhub.