Taklimat universiti lambat, pelajar ipt hanya ada seminggu buat persiapan kelas bersemuka 

by Nuraz Mohd

                                                   

                                                   Gambar Kredit: MOHE

Berikutan Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan pembukaan institusi pengajian tinggi pada Oktober, masih terdapat pihak fakulti universiti yang tidak bersedia sepenuhnya dengan memberikan taklimat kursus seminggu sebelum kelas bersemuka bermula.

Hal ini kerana taklimat kursus secara terperinci berkenaan mod pembelajaran, SOP, pembayaran yuran, kemudahan tempat tinggal serta keberadaan pelajar di kampus dimaklumkan lewat kepada pelajar.

Dalam temu bual bersama pelajar pascasiswzah pendidikan universiti tersebut, beliau menzahirkan kekecewaan terhadap pengurusan fakulti universiti kerana taklimat kursus sepatutnya diadakan lebih awal bagi mengelakkan kekalutan buat pelajar.

“Kami mendapat jemputan untuk menghadiri taklimat secara dalam talian lebih kurang seminggu sebelum kelas bermula menerusi emel,” kata pelajar universiti awam itu.

Pelajar tersebut berkata, hal ini menyukarkan para pelajar membuat persiapan seperti mencari bilik sewa, pengangkutan, kelengkapan pembelajaran serta wang yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan harian. 

“Pihak univerisiti juga tidak menyediakan tempat tinggal atau kolej kediaman buat peringkat kelulusan kami.”

“Isu tempat tinggal ini menjadi masalah besar buat kami yang tinggal di luar Kuala Lumpur untuk mencari bilik sewa dalam waktu yang singkat serta merancang perjalanan kami dengan baik,” tambahnya.

                                              

                                              Gambar Kredit: Cecilie Arcurs

Ketika dihubungi, pelajar tersebut berkata, dalam sesi soal jawab taklimat, boleh dilihat kebanyakan pelajar mengalami isu kewangan dan tidak menyangka perlu membayar yuran pengajian, menyediakan kos rumah sewa, pengangkutan, belanja harian dan sebagainya dalam satu-satu tempoh masa.

“Lagi pula, pihak universiti berkenaan juga mewajibkan pelajar membayar yuran semester terlebih dahulu, jika tidak, pelajar tidak boleh menggunakan sistem laman web universiti dan tidak dapat menghadiri kelas kerana jadual disekat,” 

“Yuran universiti tersebut boleh dikatakan agak mahal dan sedikit sebanyak membebankan pelajar sekiranya perlu dibayar penuh di awal semester,” katanya. 

Selepas tamat taklimat kursus, pelajar tersebut berkata, terdapat pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pengajian dan ada juga ingin menangguh pengajian atas masalah kewangan. 

“Bolehkah tawaran DPP pada tahun ini kita tangguhkan dan ingin masuk pada tahun hadapan kerana terdapat sedikit masalah kewangan disebabkan pandemik Covid-19?” soal salah seorang pelajar dalam kumpulan Telegram kursus itu.

 

                                       

                                       Gambar Kredit: UMK

Tambahan lagi, pihak universiti juga mengarahkan pelajar menghadiri kelas secara bersemuka pada kelas pertama bagi memudahkan pelajar dan pensyarah berbincang tentang mod pembelajaran hibrid.

“Saya beranggapan kelas hibrid, pelajar boleh memilih sama ada ingin menjalani kelas secara dalam talian sepenuhnya atau bersemuka sepenuhnya pada semester ini.”

Namun, merujuk SOP yang diberikan telah membuatkan para pelajar keliru dan tidak bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sesi akademik baharu.

Dalam SOP kemasukan pelajar universiti awam itu, pelajar yang telah lengkap dua dos vaksin boleh menghadiri kelas secara bersemuka dan kehadiran secara bersemuka hendaklah tidak melebihi 50 peratus dari kapasiti ruang bilik atau dewan kuliah dalam satu-satu masa.

“Saya tinggal di Perak, jadi saya perlu ke kampus semata-mata untuk berbincang dengan pensyarah tentang kelas, sekiranya jadual kelas diputuskan secara bersemuka dan dalam talian berselang seli, jadi bagaimana dengan keadaan saya?, kos sewa bilik dan pengangkutan semuanya perlu ditanggung sendiri.”

“Tambah lagi, satu hari satu kelas, satu kelas hanya tiga jam dan kami tak dibenarkan bekerja kerana kursus ini sepenuh masa,” katanya.

Menurut pelajar itu lagi, ada dalam kalangan kami (pelajar) yang bekerja sepenuh masa dan mempunyai komitmen keluarga.

“Solusi yang diberikan pihak fakulti bagi yang bekerja dan ingin menghadiri kelas secara dalam talian sepenuhnya satu semester adalah dengan membuat surat kepada pihak dekan fakulti.”

“Itupun tiada jaminan yang dapat diberikan oleh pihak univerisiti tentang isu-isu yang dialami pelajar,” katanya. 

                                                  

                                                  Gambar Kredit: BERNAMA

Selain itu, terdapat juga isu mod pembelajaran bagi pelajar yang masih menunggu vaksin dos kedua dan yang berada dalam tempoh kuarantin kerana Covid-19. 

“Isu-isu ini juga perlu diberikan perhatian oleh pihak universiti malahan pihak universiti perlu bersedia dengan kemungkinan-kemungkinan yang berlaku dengan menyediakan panduan yang lengkap, teliti dan menyeluruh kepada pelajar,” kata pelajar tersebut.

Terdahulu, menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad telah mengeluarkan kenyaatan bahawa institusi pengajian tinggi akan dibuka semula dengan mod pembelajaran dan pengajaran secara fizikal pada Sesi Akademik 2021/2022. 

 

Kandungan MOJO ini dihasilkan dengan sokongan kewangan European Union. Kandungannya adalah tanggungjawab penulis sepenuhnya, dan tidak semestinya menggambarkan pandangan European Union, Internews, atau SOLS 247 atau NGOhub.



 

Share