Adakah Kita Benar-benar Merdeka?

by Chin Wen Yen

64 tahun sudah Jalur Gemilang megah berkibar di udara Malaysia, bumi di mana darah ditumpah, perajurit-perajurit negara bergadai nyawa demi nama Malaysia, namun manusia cepat dan senang lupa. 

Apa tu Merdeka? Merdeka bermaksud bebas dari penaklukan kuasa asing dan rakyatnya memerintah negara mereka sendiri. Siapa yang Merdeka? Benarkah rakyat Malaysia sudah merdeka atau hanya negara sahaja yang merdeka? Adakah kita bergelar rakyat Malaysia yang sah kerana kita lahir dan membesar di sini dan tahu menyanyi lagu ‘Negaraku’? Sejauh manakah kita mencintai negara kita kalau disarankan untuk kita berdiri menyanyikan lagu kebangsaan di permulaan tayangan filem di pawagam pun kita malu untuk membuka suara? 

                                 Bendera Malaysia Jalur Gemilang : Maksud Tersirat Warna & Lambang

                                    (04/09/2021, Irujukan)

Legasi Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, adalah “Mulai 31 Ogos 1957, (kita) akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokrasi untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya”. Selepas merdeka, di tanah air kita, kita bebas bersuara, bebas bersosial, bebas berdagang dan bebas memiliki harta, mendapat pendidikan dan mengejar impian. Keadilan ditegakkan melalui pelaksanaan Undang-undang dan Perlembagaan seperti dalam Rukun Negara. Kerajaan Malaysia berhempas pulas memperjuangkan kebajikan semua rakyat Malaysia pelbagai ragam yang semakin bertambah populasinya dari setahun ke setahun. 

                                                                  Legasi Tunku Abdul Rahman dipertahan (Haspaizi Mohd Zain, 2015, Berita Harian) 

Sejahtera Malaysia, sejahterakah kita? Pernahkah kita memuji dan bersyukur kepada Ilahi, mengutamakan kedamaian dan kemakmuran negara atau menjadikan Bersatu itu kerja untuk Malaysia? Andai kata kita semua tulus hati untuk berbakti untuk negara, bukan sahaja kita dapat mengharumkan nama negara di persada dunia malah ekonomi negara membangun dan pendapatan negara bertambah. Dengan perancangan yang teliti, pendapatan negara boleh diagih dengan lebih sekata untuk meningkatkan tahap sektor ekonomi dan sosial negara. Ini ideologi yang senang difahami tetapi masih belum dikecapi. Begitu juga dengan Wawasan 2020 yang jauh lagi dari realisasi. 

Malaysia tidak kehausan sumber alam semula jadi, tidak ketandusan tanah, tidak kekurangan pakar bijak pandai, tidak kebuntuan keupayaan inovatif, cuma kekurangan persefahaman dan tekad untuk maju bersama-sama demi wawasan negara. Malaysia bumi bertuah, bebas daripada bencana alam, cuaca yang drastik, kedudukan strategik dan perang. Berikutan dengan Revolusi Industri, masing-masing bermuafakat untuk mengejar peredaran masa untuk membangunkan negara. Tanpa aral melintang seperti yang disebut, pencapaian Malaysia sepatutnya boleh lebih tinggi dan gemilang lagi. Pandanglah lebih jauh lagi daripada ganjakan di depan mata dan leka dengan perselisihan faham dengan teman seperjuangan. Dugaan untuk Malaysia semakin membebankan dan menguji kesabaran rakyat Malaysia demi tidak ketinggalan revolusi pembangunan dan kemajuan teknologi. 

Tidak dapat dinafikan bahawa sejarah akan berulang biarpun perubahan zaman tidak pernah berhenti sekiranya manusia tidak mengubah sikap dan pemikiran mereka. Bak kata ahli falsafah, George Santayana, “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it”. Dahulunya yang dikenali sebagai pendatang, kini memanggil buruh import pendatang. Dahulunya yang mengalami ketidakadilan hak dan ditindas kini menindas. Siapa kita untuk menghakimi atau menzalimi hak manusia berdasarkan status? Tanpa buruh, sanggupkah kita melepaskan anak-anak kita bekerja di bawah panas badai di tapak pembinaan dengan gaji yang kurang menarik? Sanggupkah kita menanggung risiko anak-anak kita mungkin dihempap struktur bangunan atau jatuh dari bangunan tinggi semasa bekerja? Tepuklah dada, tanya selera. Jawapannya di depan mata. Tanpa curahan bakti keringat mereka, infrastruktur di Malaysia tidak dapat dibangunkan seperti hari ini.  

Tiada siapa yang ingin bekerja keras dengan pulangan yang kecil. Siapa yang tidak ingin mempunyai pekerjaan tetap di pejabat berhawa dingin dan pulang dari kerja tepat pukul 5.00 tanpa rasa gusar tentang nasib hari berikutnya sebelum melelapkan mata?  Kalaulah setiap manusia mampu mendapat pendidikan yang sepatutnya sejak kecil dan membesar dalam persekitaran yang kondusif, keluarga yang sempurna, buruh asing tidak akan meninggalkan keluarga dan tanah air sendiri dan hidup tertindas untuk mencuba nasib mereka demi ahli keluarga. Kalaulah kita diberi peluang untuk saling memahami dan menerima budaya serta cara hidup sesama kita, tiada kejadian perhambaan moden di zaman 20-an ini. Tidak kenal maka tidak cinta.

Biar rakyat Malaysia baikpun belum (lagi) warganegara Malaysia, rata-rata membuang sampah tanpa hati perut. Sisa basah bercampur sisa kering dibuang bersama dalam beg plastik hitam, warna-warni atau bertaburan tanpa beg langsung sudah menjadi kejadian biasa di bandar atau luar bandar seluruh Malaysia. Kempen Amalan 3R yang dilaksanakan pada tahun 2009 lagi masih belum mencapai peratusan tinggi sampah yang dihasilkan kerana kebanyakan rakyat Malaysia masih kekurangan pendedahan dan pendedahan dari segi kepentingan mengasingkan sisa di punca. Oleh itu, berlaku kes pembakaran sampah, pembuangan sampah secara haram dan merata-rata serta kes vandalisma kemudahan pengasingan sampah.

Ramai yang tidak sedar bahawa dengan purata 30,000 tan sampah setiap tahun, kerajaan terpaksa membelanjakan 2 billion Ringgit Malaysia untuk mengatasi masalah sampah. Bayangkanlah kalau peruntukan ini dimanfaatkan untuk sektor yang mampu meningkatkan kebajikan rakyat atau sampah sarap boleh diolah dengan sebaik-baiknya dan sebaliknya menjadi alat untuk menjana pendapatan secara lestari selepas perancangan teliti dan pelaburan pada peringkat awal dalam jangka masa yang panjang. 

Sedangkan rakyat Malaysia masih terkapai-kapai mengenal 3R, kerajaan terpaksa memperkenalkan amalan 5R atau 5S supaya tidak ketinggalan dalam kalangan negara-negara jiran di Asia Tenggara padahal negara-negara Dunia Pertama sudah melaksanakan 9R. Seperti moto NGO Generasi Peduli Sampah, “Sampah Kita, Tanggungjawab Kita”. Ada juga yang melaung-laungkan, “It’s Not My Trash, But It’s My Planet”. Bumi kita hanya satu, negara kita tiada penduanya. Tiada gunanya kalau manusia cuba meneroka planet lain tapi masih membinasanya planet sendiri. 

Tidak kurang yang berdolak dalih apabila diuar-uarkan untuk mengasingkan sisa di rumah. Antaranya adalah tiada masa, tiada ruang, kotor, risau ada bau, takut mengundang haiwan perosak dan macam-macam lagi seolah-olah tanggungjawab mereka sekadar bungkus dan keluarkan campuran sampah basah kering ke bilik sampah. Tanpa oksigen dan perudaraan yang sepatutnya, sisa makanan dalam plastik bag bukan sahaja tidak dapat melalui proses pengkomposan dengan baik malah mencemari sisa kering yang lain dan membebaskan gas metana yang berbahaya untuk lapisan ozon kita. Bayangkanlah jumlah gas yang dibebaskan daripada sisa makanan Malaysia sebanyak 17 juta kilogram setiap hari. 

Pernahkah anda berfikir, pekerja kebersihan yang memungut sampah walaupun warga asing tapi masih anak ibu bapanya, juga seorang manusia. Sikap sesetengah orang yang membuang sampah yang tidak berasing dan membiarkan ulat merangkak seluruh beg amat menjijikkan. Inikah sikap rakyat Malaysia yang bertamadun? Terdapat juga yang tidak membungkus dan mengasingkan sampah merbahaya seperti serpihan kaca, bilah pisau yang patah, paku dan sebagainya. Perbuatan-perbuatan yang tidak mengenang jasa ini amat memalukan. 

Sekiranya kita benar-benar cinta negara kita dan bangga bergelar rakyat Malaysia, kita tidak akan mengotorkan negara kita sendiri dan menjatuhkan maruah negara dan keluarga. Pelihara dan puliharalah negara kita untuk generasi seterusnya kerana bukan mereka yang bakal mewarisinya tetapi hakikatnya, kami yang perlu mengembalikan kepada mereka. Biarlah sampah menyatukan Malaysia.

#MOJOKitabySM, #SuaraMasyarakat, #CommunityVoices, #sustainability #kelestarian #cintainegara #cintaiMalaysia #cintaialamsekitar #AkuAnakMalaysia #MalaysiaBersatu #AsingSisaDiPunca #wastesorting #garbagedisposal #MalaysiaTrashyTalk #GenerasiPeduliSampah #SampahKitaTanggungjawabKita #9R #CircularEconomy

Kandungan MOJO ini dihasilkan dengan sokongan kewangan European Union. Kandungannya adalah tanggungjawab penulis sepenuhnya, dan tidak semestinya menggambarkan pandangan European Union, Internews, atau SOLS 247 atau NGOhub.

Share